Yayasan PETRONAS Sebarkan Keceriaan Sempena Tahun Baru Cina

MELAKA, 9 Februari 2024 – Bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, Yayasan
PETRONAS berhasrat untuk membawa keceriaan ke seluruh negara melalui program Memacu Kehidupan
Tahun Baru Cina 2024.

Pada tahun ini, seramai 2,100 keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara akan menerima bantuan
bekalan makanan perayaan serta makanan asas yang akan diberikan oleh Yayasan PETRONAS.
Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan bekalan makanan asas seperti longevity
noodle
, cendawan kering, minyak bijan dan sos taucu telah mula diagihkan kepada keluarga yang terpilih
bermula 6 Februari.

Setiap keluarga juga akan diberikan biskut perayaan yang dihasilkan oleh peserta daripada program
Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) yang bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf
kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Sesi penyerahan simbolik di Dewan Penyayang, Alor Gajah,Melaka telah dilaksanakan oleh Pengarah
Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka, Halyjah Muhammad bersama-sama dengan Ketua Pengawai
Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), Ahmad Farid Yaacob dan
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Dato Haji Mahat turut hadir di majlis berkenaan.

Shariah Nelly Francis berkata, “Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang meraikan kebersamaan
sesama keluarga dan masyarakat. Melalui Program Memacu Kehidupan, kami berharap ia dapat
membawa kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat pada musim perayaan ini. Di Yayasan
PETRONAS, kami teruskan komitmen dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.”

Lou Geok Lian, 62, salah seorang penerima bantuan berkata, “Saya sangat bersyukur atas bantuan yang
diberikan oleh Yayasan PETRONAS dan JKM. Semoga dengan bantuan ini dapat saya gunakan untuk
membuat persediaan dalam menyambut Tahun Baru Cina yang akan datang,”

Lou merupakan seorang warga emas yang berusaha menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai
pencuci pinggan di salah sebuah restoran di daerah Melaka.

Program Memacu Kehidupan adalah sebahagian daripada bidang tumpuan kesejahteraan dan
pembangunan masyarakat Yayasan PETRONAS. Program ini juga sejajar dengan Agenda Kelestarian
PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Dikeluarkan oleh:
Yayasan PETRONAS