KUALA LUMPUR, 10 Mei 2019 – Program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS kembali berkongsi kegembiraan bagi kira-kira 2,800 buah keluarga dan golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama meraikan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai di seluruh negara.
Bermula 8 Mei hingga 15 Jun 2019, Yayasan PETRONAS bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari kumpulan syarikat PETRONAS bekerjasama menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta kelengkapan rumah, hamper dan duit raya.
Sumbangan berjumlah RM815,000 akan disampaikan dalam bentuk wang tunai dan barangan menerusi program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS, yang bermula sepanjang bulan Ramadan, diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan juga Hari Raya Aidilfitri.
Di samping itu, sepanjang program ini, turut diadakan majlis berbuka puasa, aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan latihan kemahiran bersama penghuni rumah-rumah kebajikan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, “Kami berharap dapat terus menyemai nilai-nilai murni melalui amalan kebaikan. Kami juga amat berbesar hati program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS ini mampu diperluas ke lebih banyak negeri serta melibatkan lebih ramai komuniti dan keluarga.
“Bilangan sukarelawan PETRONAS juga meningkat pada tahun ini yang membolehkan kami menyumbang dan menghulurkan lebih banyak sumber tenaga untuk manfaat sejagat.”
Farhanuddin A Razak, seorang sukarelawan PETRONAS berkata, “Biar pun seringkali melibatkan diri , namun saya tetap bersemangat dan teruja untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.
“Usaha secara sukarela ini sangat bermakna kerana saya dapat sama-sama berkongsi dan menambah kemeriahan sambutan bagi mereka yang mungkin hidup berseorangan tanpa ditemani keluarga mahu pun sahabat handai.”
Program musim perayaan Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS merupakan sebahagian daripada fokus Yayasan PETRONAS kepada aspek Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan.
Ia dianjurkan bersempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia. Ia menjadi saluran bagi Yayasan PETRONAS bekerjasama dengan komuniti dalam menyediakan keperluan sara hidup dan membina keyakinan diri.
Mengenai Yayasan PETRONAS
Yayasan PETRONAS merupakan cabangan Tanggungjawab Sosial Korporat PETRONAS. Misinya adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Yayasan PETRONAS berhasrat untuk menyampai manfaat mampan, mempertingkatkan kualiti kehidupan dan hasil sosioekonomi komuniti di seluruh negara melalui bidang-bidang fokus yang terdiri daripada Pendidikan, Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan serta Alam Sekitar.
W: https://www.yayasanpetronas.com.my
FB: https://www.facebook.com/yayasanpetronasmy/
IG:https://www.instagram.com/yayasanpetronas/
Disediakan oleh:
Yayasan PETRONAS
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Reshvinder Kaur: + 60 17-275 7985| resh.kaur@ceria.asia
Lim Wei Wen: +6012 3223476 | weiwen.lim@petronas.com