Program Sentuhan Harapan – Planting Tomorrow Berjaya Tingkatkan Ekonomi Penduduk Setempat

KUALA NERUS, 6 April 2019 – Potensi pendapatan isi rumah 100 keluarga di Terengganu telah berjaya ditingkatkan melalui Program Sentuhan Harapan – Planting Tomorrow anjuran Yayasan PETRONAS baru-baru ini.

Selama enam bulan, kaum ibu dari keluarga nelayan serta ibu tunggal dari kawasan ini telah diberi pendedahan dalam siri latihan berterusan yang merangkumi aspek kemahiran pengurusan kewangan, pemasaran produk, imej dan penampilan diri. Setiap peserta program keusahawanaan ini juga menerima bantuan makanan asas bulanan bernilai RM80 selama setahun melalui sistem pembayaran tanpa tunai Yayasan MyKasih.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Puan Lita Osman pada Majlis Penutup Program Sentuhan Harapan – Planting Tomorrow hari ini berkata, “Program Planting Tomorrow merupakan salah satu komitmen Yayasan PETRONAS dalam menyokong usaha kerajaan meningkatkan kualiti kehidupan dan taraf sosioekonomi masyarakat di negeri ini.

“Program keusahawanaan ini  telah membantu menambahkan pendapatan isi rumah golongan B40 dan ekonomi masyarakat setempat. Sejak ia dimulakan pada tahun 2018, sokongan dan sumbangan kami merangkumi program pembangunan keupayaan dan sumbangan keperluan asas”.

PETRONAS telah menyumbang sebanyak RM7 juta menerusi program Planting Tomorrow yang  telah dijalankan  di beberapa negeri di Malaysia. Sejumlah 400 keluarga dari Terengganu telah mengikuti program ini sejak ia dimulakan satu tahun lalu.

Dato’ Wan Mohd Hasnan Abdullah, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur dan wakil pengurusan MyKasih turut hadir pada majlis ini.

Testimoni Peserta Program Planting Tomorrow di Kuala Nerus

Haslinda Abdullah, 38 tahun memulakan perniagaan makanan ringan kira-kira dua tahun yang lalu. “Sebaik sahaja pulang dari salah satu sesi program, saya berbincang dengan anak perempuan saya untuk menjenamakan semula produk kami dari ‘Kerepek Megi’ ke ‘Keropok Megi Linda Homemade’. Hasil dari tunjuk ajar yang diterima, kami juga memperbaiki cara pembungkusan mengikut citarasa pengguna.”

Puan Haslinda juga menekankan aspek promosi secara intensif melalui media sosial, pemasangan kain rentang dan pengedaran kad perniagaan di kawasan sekitar. Hasil daripada usaha tersebut, permintaan terhadap produk barunya meningkat.  Penyediaan ramuan sekadar 1 kilogram sehari kini meningkat ke enam kilogram sehari sambil menjanakan RM790 sebulan daripada hanya RM100 – RM200 sebulan sebelumnya.

Wan Maznah Othman, 58, bersyukur dan berbangga kerana berjaya mengatasi sasaran perniagaannya. Ibu tunggal kepada empat orang anak  yang mengusahakan perniagaan kuih kecil-kecilan berkata, “Semasa mula menyertai program ini, saya menjangkakan sasaran perolehan saya sekitar RM1,000 sebulan. Alhamdulillah, selepas 6 bulan, saya telah berjaya mencapai RM1,500!” Hasil jualannya kini termasuk produk sejuk beku sebagai tambahan kepada perniagaan kuih-muih.

Mengenai Yayasan PETRONAS

Yayasan PETRONAS ialah cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PETRONAS. Misi kami adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Kami berhasrat untuk mencipta kesan yang lestari, meningkatkan kualiti kehidupan, dan taraf sosioekonomi masyarakat di seluruh negara. Bidang tumpuan utama kami adalah dalam Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Masyarakat dan Alam Sekitar.

Sila layari laman web: www.yayasanpetronas.com.my untuk maklumat lanjut.


Disediakan oleh:
Perhubungan Media
Kumpulan Komunikasi Strategik
PETRONAS

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Anisa Adnin : +609 8665511 | anisaadnin.mohamad@petronas.com
Zamri Mohamad : +609 8665532 | zamri_mohamad@petronas.com