PETRONAS Sumbang Pakej Prihatin Kepada Mangsa Banjir di Masjid Tanah

MELAKA, 15 Ogos 2024 – PETRONAS, melalui Yayasan PETRONAS, terus memperkukuhkan komitmennya dalam misi membantu mangsa banjir di sini melalui program “Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024”, dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah.

180 Pakej Prihatin, yang mengandungi barangan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, makanan, biskut, sabun mandi, berus dan ubat gigi, dan kotak penyimpanan barang telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini, untuk diagihkan kepada sembilan Pusat Pemindahan Sementara  bagi keluarga yang terjejas di Masjid Tanah.

Sumbangan Kad Hadiah PETRONAS juga telah disampaikan kepada Pegawai Daerah Alor Gajah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, untuk disalurkan ke pihak agensi kerajaan yang terlibat.

Sumbangan itu bertujuan untuk memudahkan pihak agensi kerajaan membeli minyak petrol dan diesel di stesen minyak PETRONAS, serta barangan lain yang diperlukan dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Dato’ Haji Mahat berkata, “Kami berharap sumbangan ini dapat bantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Masjid Tanah, serta memudahkan pihak agensi kerajaan yang terlibat, dalam mengendalikan situasi ini.”

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota sukarelawan dan pasukan penyelamat yang berganding bahu memastikan mangsa banjir selamat tiba di Pusat Pemindahan Sementara,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, Yayasan PETRONAS telah menyalurkan 10,000 Pakej Prihatin kepada keluarga terjejas di seluruh negara sejak akhir tahun 2023. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan  PETRONAS yang disampaikan mengikut keperluan bantuan bencana.

Dikeluarkan oleh:  
PETRONAS