“Saya telah diberi peluang kedua dalam kehidupan. Bagi saya, setiap hari adalah nikmat kerana saya masih dapat bersama anak-anak saya,” kata Che Wan Mon Binti Omar, ibu tunggal kepada lima orang anak.
Ungkapan kata ini jauh sekali dari hanya suatu klisé.
Che Wan telah melalui saat-saat gelap dan penuh liku apabila beliau kehilangan suami dan sejurus selepas itu didiagnos pula dengan kanser limfoma tahap empat beberapa tahun lepas.
“Itu merupakan waktu yang perit kerana anak-anak saya masih kecil dan memerlukan saya. Saya bukanlah orang senang, jadi saya perlu mencari jalan untuk mengisi perut sekeluarga,” luah Che Wan.
Tetapi langit mendung bertukar cerah apabila beliau menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan rawatan kanser di hospital kerajaan. “Saya benar-benar rasa seperti diberikan hidup baharu dan semangat baharu untuk terus menjalani kehidupan,” kata Che Wan lagi.
Diberi Peluang Kedua, Semangat Membara Untuk Berjaya
Berbekalkan semangat baharu ini, muncul pula idea untuk membuat ais krim. “Anak-anak saya memang sukakan ais krim dan sebenarnya ia bukannya susah untuk dibuat,” jelasnya. “Semasa ingin bermula, macam-macam idea perisa yang mereka cadangkan. Akhirnya kami sepakat untuk membuat ais krim perisa Choki Choki dan Oreo,” kongsinya.
“Pelanggan sangat sukakannya dan semakin ramai pula kanak-kanak di kawasan perumahan saya mendapat tahu. Jadi, mereka akan datang ke tempat saya untuk membeli. Ais krim saya memang popular!” kata Che Wan sambil ketawa.
Beliau membuat kira-kira 200 batang setiap minggu dan mula mendapat pelanggan tetap. Tetapi beliau tetap berhati-hati dan memastikan perniagaan ini tidak terlalu memberikan tekanan. Lagipun Che Wan masih perlu mengimbangi tanggungjawab di rumah sambil memastikan kesihatannya sendiri kekal terjaga.
Walau bagaimanapun, beliau sentiasa memikirkan bagaimana caranya mendapatkan wang lebih kerana pendapatan tambahan RM300 adalah masih tidak mencukupi untuk menampung keluarga.
Pintar Mencari Penyelesaian
Mujur sekali, beliau telah mendapat tahu tentang Program empowerNCER.
Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Che Wan dengan kemahiran baru.
Ia merupakan sebuah program latihan keusahawanan khusus untuk membantu komuniti B40. Nyata sekali, inilah penyelesaian yang Che Wan perlukan untuk menambah dan melatih kemahiran praktikal untuk mengembangkan perniagaan aiskrimnya.
“Latihan tersebut memberi saya peluang untuk bercita-cita lebih tinggi dan membayangkan cara untuk mengembangkan perniagaan saya ” ulas Che Wan tentang program itu.
Hari ini, beliau menjual lima belas jenis perisa ais krim. Apabila ditanya tentang perisa paling istimewa yang boleh didapati, beliau berkongsi, “Perisa Vanilla Choki, Oreo, Strawberry Fizz, Mango Fizz and Kiwi Fizz adalah antara ais krim saya yang paling laris.”
Menariknya, beliau juga mengambil tempahan untuk perisa lain daripada yang lain. “Kadang kala pelanggan akan memberitahu saya perisa lain yang mereka mahukan. Kemudian saya akan cuba memadankan resipi dengan selera pelanggan dan membuat ais krim yang istimewa dibuat untuk mereka,” jelas Che Wan.
Dari 500 ke 700 batang ais krim setiap minggu, pendapatannya telah mencapai hampir lima kali ganda dengan kira-kira RM1,400 setiap bulan. Che Wan juga membekalkan ais krim kepada kedai-kedai runcit berdekatan rumahnya dan turut mengupah agen untuk mengembangkan perniagaannya.
Che Wan kekal berjuang dan berharap supaya perniagaannya semakin berkembang maju. “Sebaik sahaja pandemik ini tamat, saya nak menjual ais krim di dalam balang pula. Mesti ramai yang akan suka!”
Semangat perjuangan Che Wan memberi inspirasi untuk orang ramai, dan melalui program ini, ia sedikit sebanyak telah membantu beliau mengecapi impian.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda juga mengenali individu seperti Che Wan yang sedang gigih berjuang mencari rezeki dan perlukan bantuan?
Kongsikan cerita anda di sini. Siapa tahu, kisah anda juga mungkin akan memberi inspirasi kepada orang lain!