Di Kampung Lubuk Legong di Baling, Kedah, sikap ceria dan positif Ubal bin Kulim menarik pelanggan tetap ke gerai burgernya setiap hari, terutama di kalangan pemuda Orang Asli yang menjadikannya sebagai contoh.
Kini berusia 32 tahun, Ubal pernah hidup susah dalam kemiskinan, tanpa pekerjaan sepenuh masa dan hanya memperoleh sekitar RM300 sebulan menjual nugget ayam.
Anak kelima dari sebelas adik beradik ini mempunyai minat dalam bidang keusahawanan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menerokai minatnya. Beliau ada cuba menjual produk secara dalam talian tetapi tidak berjaya.
Kemudian, peluang keemasan hadir apabila permohonan dibuka untuk Program empowerNCER.
Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Ubal dengan kemahiran baru. Di sini, beliau mempelajari kemahiran dan ilmu keusahawanan yang penting untuk memulakan dan membangunkan perniagaannya sendiri.
Tetapi perjuangan Ubal ada cabarannya. Beliau tidak mempunyai banyak sumber namun beliau tetap nekad untuk membuktikan kebolehan dirinya dan melawan stigma masyarakat tentang Orang Asli.
Tukar cara pemikiran
Secara tradisi, Orang Asli mencari nafkah dari sumber semula jadi, biasanya dengan cara bertani atau menangkap ikan. Meskipun begitu, susah payah kehidupan umpama diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain, diduga kesempitan ekonomi yang sentiasa menyelubungi masyarakat mereka.
Sebagai seorang pemuda millenial, Ubal menyedari bahawa cara pemikiran tidak seharusnya kekal di takuk lama. “Saya sangat berterima kasih atas peluang untuk belajar dan berlatih bagi membuka gerai burger saya sendiri. Saya sangat teruja untuk memulakan lembaran baharu dengan perniagaan saya,” kongsi Ubal dengan rasa syukur.
Keluar dari kemiskinan
“Kemungkinan besar, saya adalah Orang Asli pertama di kampung ini yang membuka gerainya sendiri,” kata Ubal, bangga atas kejayaannya.
Ketika beliau baru saja memulakan perniagaan, beliau berusaha mendapatkan kepercayaan pelanggannya. Oleh itu, setiap hari Ubal akan memastikan bahawa beliau datang membuka gerai tepat pada masanya, di samping menggantung papan tanda dan membersihkan gerai untuk mengalu-alukan ketibaan pelanggan.
Dengan penuh bersemangat, Ubal berkongsi tentang hasil jualan yang meningkat sebaik sahaja beliau mempelbagaikan produk di gerai burgernya. Beliau memperkenalkan minuman serta salad betik Thai dan somtam yang enak ke dalam menu. Hari ini, Ubal memperoleh secara pendapatan purata sebanyak RM1,020 – iaitu tiga kali ganda berbanding pendapatan sebelumnya. Malah, jika hasil jualan bulanan lebih tinggi daripada biasa, pendapatan Ubal boleh mencecah RM1600.
“Dahulu, saya sering bimbangkan kewangan saya. Tetapi sekarang, saya dapat menyara keluarga dan juga menyimpan sedikit wang,” kata Ubal. Semakin lama, beliau semakin yakin dengan perniagaannya. Beliau menerima kunjungan dari pelanggan tetap dan kebanyakannya adalah golongan pemuda yang gemar meluangkan masa di gerainya.
Menyumbang kepada komuniti
Setelah menerima bimbingan dan latihan dalam program empowerNCER, Ubal kini melihat banyak potensi dalam masyarakat Orang Asli lain di kampungnya. “Saya berharap dapat menjadi contoh bagi generasi Orang Asli yang akan datang. Saya ingin mereka sedar bahawa jika saya boleh melakukannya, begitu juga dengan mereka,” kata Ubal bersungguh-sungguh.
Setelah diri sendiri diuji dengan cabaran hidup, beliau memahami perit getir kehidupan masyarakatnya. Oleh itu, Ubal menghulurkan bantuan dengan mendermakan sebahagian daripada keuntungannya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.
Pendapatan Ubal hari ini jauh berbeza berbanding kehidupannya yang susah sebelum ini. Kejayaannya adalah hasil kerja keras, tekad yang kuat serta bantuan dan bimbingan dari orang lain.
Masa lampau yang susah tidak bermaksud beliau akan selamanya susah. Malah, masa lampau beliau yang terus memberinya inspirasi untuk melangkah jauh ke hadapan.
Dengarkan perkongsian Ubal tentang perjalanan hidupnya:
Kita semua perlukan jentikan semangat yang positif dan memupuk nilai murni seperti Ubal. Inilah langkah pertama sekiranya kita ingin melihat perubahan positif dalam komuniti kita.
Sekiranya kisah Ubal telah memberi inspirasi kepada anda, luangkan sedikit masa untuk memikirkan siapa anda pada hari ini, dan kenangkan kembali insan-insan yang telah membantu anda.
Syukurilah nikmat yang ada dan ayuh kita berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.