JOHOR, 5 Disember 2024 – PETRONAS melalui Yayasan PETRONAS, komited dalam meneruskan usaha untuk mencipta impak positif dalam membantu komuniti melalui program ‘Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024’, hasil kolaborasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Baru-baru ini, sebanyak 700 Pakej Prihatin telah diserahkan kepada JKM di Wilayah Selatan, dengan 600 unit diberikan kepada JKM Johor dan 100 unit diberikan kepada JKM Melaka. Pakej Prihatin tersebut akan diagihkan kepada mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika berlakunya banjir.
Proses pengagihan bantuan ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) masing-masing.
Antara barangan Pakej Prihatin tersebut adalah barangan asas seperti selimut, tuala mandi, makanan sedia dimakan (ready-to-eat meal), biskut, air mineral, tuala wanita dan peralatan kebersihan untuk kegunaan seharian.
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Dato’ Haji Mahat berkata, “Sumbangan Pakej Prihatin ini adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi musim banjir. Kami berhasrat untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa sebaik sahaja bencana berlaku.”
“Kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sebuah ‘kit kecemasan’ yang menyediakan keperluan asas bagi mereka yang memerlukan di saat-saat genting,” tambahnya.
Sejak September 2024, Yayasan PETRONAS telah menyumbangkan sebanyak 6,000 Pakej Prihatin kepada keluarga yang terjejas di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunannya untuk disalurkan mengikut keperluan bencana semasa.
Sementara itu, PETRONAS juga turut menyumbangkan sebanyak RM50,000 dalam bentuk Kad Hadiah PETRONAS (PETRONAS Gift Card) kepada JKM dan pegawai-pegawai daerah di Wilayah Selatan selaku Pengerusi JPBN, untuk disalurkan kepada pihak agensi kerajaan yang terlibat- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumbangan ini diberikan bagi membantu agensi kerajaan membeli minyak petrol, diesel dan juga produk-produk keperluan di stesen minyak PETRONAS dalam menjalankan misi menyelamat dan pengurusan mangsa-mangsa banjir.
Dikeluarkan oleh:
PETRONAS