Abdul Manaf bin Ahmad telah lama ingin membina rumah sendiri, tetapi dek kerana kekangan kewangan, impiannya umpama terkubur.
Sewaktu menoreh getah di Baling, pendapatannya sedikit dan tidak begitu stabil. Kebiasaannya, pendapatan Abdul Manaf hanya mencecah RM300 setiap bulan, sekadar cukup makan sahaja, apatah lagi untuk menyara seisi keluarga.
Nekad untuk mencari rezeki yang lebih, Abdul Manaf dan isterinya mula membuat lemang. Secara tradisi, lemang dahulunya hanya dihidang semasa Hari Raya dan hari-hari kebesaran lain. Namun kini, juadah enak dan berlemak itu boleh didapati sepanjang tahun. Ia sering dijual di sisi jalan pekan-pekan Malaysia, yang mana asap yang naik berkepul-kepul dari barisan buluh lemang yang dibakar dapat dilihat walaupun dari jauh. Setiap buluh lemang pula diisi secukup rasa dengan beras pulut, santan dan garam sebelum dibakar dengan unggun api.
Pengalaman Sewaktu Mula Menjual
Kebetulan pula, Abdul Manaf tinggal berdekatan hutan yang kaya dengan pokok buluh. “Selang beberapa hari saya akan pergi mengumpul buluh dan timbunkan di atas motosikal saya. Apabila tiba di rumah, saya akan bersihkan dan siapkan buluh untuk diisi dengan beras pulut,” kongsinya.
Lazimnya, Abdul Manaf melakukan kerja-kerja berat manakala hal-hal memasak pula dikendalikan oleh isterinya. “Rupanya kami serasi bekerja bersama,” katanya sambil ketawa kecil. “Kami bermula secara kecil-kecilan. Dua kali seminggu, saya akan letakkan beberapa lemang di dalam raga motosikal untuk dijual di tepi jalan,” cerita Abdul Manaf. Pada waktu itu, beliau masih menoreh getah pada hari-hari lainnya.
Perniagaan ini bergerak perlahan pada mulanya, tetapi setiap kali Abdul Manaf keluar untuk menjual, lemangnya pasti laku dan habis dijual. “Penduduk kampung akan datang untuk membeli. Kadang kala saya juga menjualnya melalui kedai-kedai sekitar,” ujarnya, mengenang pengalaman beliau sewaktu mula-mula berniaga.
Pasangan suami isteri itu juga menjual lauk yang sesuai dimakan bersama lemang. “Kami juga membuat serunding sendiri yang dibuat mengikut resipi asli sejak turun-temurun,” katanya. Serunding merupakan lauk yang popular buat masyarakat Melayu. Juadah tersebut merangkumi daging cincang yang ditumis sehingga kering bersama herba dan rempah harum istimewa, juga enak dimakan bersama nasi.
Merasa Berbelah Bahagi
Jualan semakin bertambah tetapi Abdul Manaf masih meluangkan banyak masa di ladang getah. “Saya sudah mula mendapat untung dari jualan lemang dan saya ingin berhenti menoreh getah. Masalahnya, saya merasa berbelah bahagi kerana saya tak tahu bagaimana untuk mengembangkan perniagaan. Apatah lagi sepanjang hidup, saya menoreh getah,” akui Abdul Manaf.
Dalam memikirkan hal ini, Abdul Manaf mendapat tahu tentang Program empowerNCER, salah sebuah inisiatif latihan keusahawanan.
Setelah membuat permohonan, beliau berkongsi, “Saya terkejut apabila saya diterima masuk ke dalam program ini!”
Berbekalkan ilmu baharu dan bimbingan praktikal daripada program latihan tersebut, Abdul Manaf akhirnya membuat keputusan untuk mengembangkan perniagaan lemangnya sebagai peniaga sepenuh masa.
Melalui program ini, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Abdul Manaf dengan azam baru.
“Saya dan isteri pun memutuskan untuk membuka gerai setiap hari. Kami membeli kanopi, beberapa meja dan kerusi dan memilih sebuah lokasi di sisi jalan untuk menempatkan gerai kami,” katanya.
Pasangan itu turut bereksperimen menghasilkan pelbagai jenis lemang, bagi mendatangkan kelainan pada juadah lemang tradisi ini. “Pelanggan kami amat sukakan lemang berinti labu,” kongsinya dengan bangga. Warna kuning labu itu menaikkan seri lemang dan lazat menepati selera pelanggan.
‘Gerai Lemang Pak Manaf’ kian dikenali ramai dan menjual lebih banyak lemang. Kereta-kereta sering berhenti di bahu jalan untuk merasai kelazatan lemang yang dijual. Malah, Abdul Manaf juga sudah mula menerima tempahan untuk membekalkan lemang di majlis-majlis.
Kembali Bersemangat Mencapai Impian
Sewaktu musim perayaan, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya, Abdul Manaf boleh meraih sehingga RM2,600, sebuah jumlah yang berlipat ganda dari kerjayanya dahulu semasa menoreh getah. Manakala pada musim bukan perayaan pula, hasil pendapatannya mencecah RM1,200 – RM 1,500 setiap bulan.
Dahulunya, beliau hanya membuat 30 batang lemang setiap minggu tetapi kini beliau membuat sehingga 100 batang lemang setiap minggu.
Hasil pendapatannya yang telah bertambah menghidupkan kembali impian beliau yang pernah terkubur tidak lama dahulu. “Saya ingin terus mengembangkan perniagaan saya supaya dapat merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya. Kini, beliau masih menyewa namun telah mula membina rumahnya, yang setakat ini sudah separuh siap.
“Saya cukup seronok apabila saya dapat menghadiahkan basikal buat anak saya yang berumur 8 tahun. Sudah lama dia menginginkannya,” kongsi Abdul Manaf dengan gembira.
Apabila kita membantu mereka yang memerlukan, manfaatnya melangkau jauh dan mampu mengubah kehidupan seseorang. Hari ini, Abdul Manaf dan keluarga dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Malah anak-anaknya pula mempunyai lebih banyak peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah.
Jadi, siapa yang akan anda bantu hari ini? Ingatlah, apabila kita mengubah hidup seseorang, impaknya mampu melangkau jauh di luar jangkaan kita.