Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkongsi kepentingan beg galas dalam membentuk potensi lebih besar serta memberikan perbezaan yang berpanjangan.
Saya masih ingat beg galas pertama anak lelaki saya. Berwarna kuning terang ala Minion, ia sentiasa diisi penuh dengan barang kegemarannya. Setiap hari persekolahan, ia dapat menampung segala keperluan untuk ke sekolah – buku, alat tulis, botol air serta bekalan makanan. Namun, bukan saja untuk ke sekolah, anak saya akan juga menggalasnya apabila kami keluar di waktu hujung minggu, mengisinya penuh dengan snek, barang mainan, pakaian salinan.
Macam-macam diisi dalam beg galas itu. Selepas hampir dua tahun, beg galas itu akhirnya lusuh, dan walaupun ianya kurang menarik berbanding komputer riba, namun, ia menggalas pelbagai potensi.
Namun, tidak semua kanak-kanak mampu memiliki kelengkapan yang dianggap wajib ini.
Beberapa bulan lalu, saya telah melawat sebuah sekolah di daerah kampung dan melihat beberapa kanak-kanak datang ke sekolah dengan hanya membawa buku di dalam beg plastik. Bagi mereka, beg galas merupakan kemewahan yang diketepikan demi perbelanjaan keluarga bagi mencari sesuap nasi.
Hari ini, kos purata untuk keperluan sekolah, sepasang kasut kanak-kanak dan pakaian seragam sekolah boleh dianggarkan sekitar RM200. Dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM3,500 sebulan, kos menampung persekolahan untuk dua atau tiga orang anak boleh melebihi perbelanjaan makanan seisi rumah selama sebulan. Justeru, tidak hairanlah kenapa kebanyakan kanak-kanak daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40) terpaksa memakai pakaian sekolah yang sama selama beberapa tahun walaupun sudah lusuh dan tidak lagi muat.
Malangnya, kita sering mendengar cerita kanak-kanak menjadi mangsa ejekan dan dipinggirkan kerana kasut koyak-rabak atau baju yang tidak muat. Ia boleh menjurus kepada tekanan emosi dan mewujudkan jurang akademik dengan pelajar lain yang lebih bernasib baik, dan seterusnya menyumbang kepada kadar keciciran pelajar di sekolah.
Namun, situasi ini merupakan sesuatu yang dapat ditangani kerana kanak-kanak ini semua berpotensi untuk mengatasi perangkap kemiskinan. Hanya dengan memberi mereka kelengkapan sekolah yang sempurna, mereka akan lebih selesa untuk bergaul dengan rakan-rakan dan akan teruja untuk hadir ke sekolah setiap hari, demi perubahan masa depan mereka.
Kanak-Kanak Lebih Ramai dan Lebih Lama di Sekolah
Walaupun kadar keciciran pelajar di sekolah menurun sedikit daripada 0.34% kepada 0.29% antara 2014 dan 2017, Kementerian Pendidikan meneruskan matlamat untuk mengecilkan lagi peratusan ini, terutamanya di kalangan keluarga kumpulan berpendapatan B40 yang mana keciciran pelajar sering berlaku.
Salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan menggalakkan dan melengkapkan pelajar dengan keperluan asas bagi persediaan kembali ke sekolah.
Walaupun beg galas tidak secanggih komputer riba sebagai bekalan permulaan persekolahan, ia merupakan antara barang keperluan yang dapat menggalakkan lebih ramai kanak-kanak ke sekolah serta kekal lebih lama di sekolah.
Satu laporan mengatakan bahawa hampir 70 peratus pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) berjaya ditempatkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi persekolahan 2019. Ini membuktikan bahawa para pelajar dari golongan ini boleh berjaya sekiranya diberi peluang dan kesempatan. (3)
Oleh itu, kita tidak harus menyepikan kanak-kanak semata-mata kerana mereka kurang berkebolehan di peringkat awal persekolahan.
Dengan bantuan kelengkapan sekolah, seperti sebuah beg galas, kita boleh mengekalkan lebih ramai pelajar di dalam sistem pembelajaran negara. Sememangnya, beg sederhana ini mampu memberi keyakinan diri seorang pelajar, agar mereka terus bercita-cita dan berdaya maju.
Melalui usaha ini, Malaysia boleh bertambah progresif kerana mempunyai bekalan bakat serta potensi yang lebih besar, dapat mempertingkatkan produktiviti dan mengurangkan beban ekonomi masa depan yang timbul daripada masalah sosial termasuk jenayah.
Justeru, tahun ini, Yayasan PETRONAS akan memperluaskan program tahunan Kembali ke Sekolah bagi memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak. Dengan bantuan sukarelawan, 21,000 kanak-kanak di seluruh negara akan menerima beg galas, alat tulis, pakaian seragam sekolah, stokin dan kasut bagi memulakan tahun akademik baharu.
Program ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi.
Dengan membendung salah satu faktor risiko keciciran pelajar di sekolah, kami harap lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Setiap kanak-kanak berhak diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan membaiki masa depan mereka sebagai jalan terbaik untuk mengatasi kemiskinan.
Suatu hari nanti, kanak-kanak ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka, di samping membantu komuntiti mereka membebaskan diri daripada perangkap kemiskinan – serta menjadi penyumbang yang efektif kepada ekonomi negara.
Pendidikan menjurus kepada kemajuan dari segi sosial serta ekonomi setempat – matlamat inilah yang mendorong kami untuk memupuk kesejahteraan masyarakat.
Maka, setiap kali anda melihat beg galas, ingatlah bahawa ia bukan sekadar beg, ia dapat membantu seseorang merubah perjalanan hidup mereka ke arah masa depan yang lebih cerah.